Thursday, May 3, 2012

TIPS AWAL SEBELUM BERTUDUNG LABUH...


SALAM...
Apabila meneliti keadaan penampilan diri yang agak tidak sempurna penutupan auratnya, hati tiba-tiba terasa malu kepada Allah. Mengenangkan kejahilan diri melanggar perintah & garis panduan yang telah ditetapkannya. Namun, di saat diri mahu berubah. Di celah-celah semangat itu dilunturkan pula dengan tohmahan orang sekeliling. Lantas lantaran dek mengenangkan kata-kata perlian & kejian yang bakal dilalui. Tambahan pula diri dilahirkan dalam keluarga yang ‘biasa-biasa’ sahaja penerapan & pelaksanaan agamanya, diri terkenang pula apa kata keluarga jika tiba-tiba berubah penampilan kelak.
Situasi ini kerap kali melanda hati, diri yang baru ‘dipanggil’ pulang oleh Allah. Respon bagi panggilan tersebut ada 3:
  1. Ramai di antara hamba-hamba yang diuji Allah ini berjaya melalui liku-liku tersebut dengan sabar & tabah sebelum istiqomah menyarungkan tudung labuh. Alhamdulillah.
  2. Namun, ramai juga yang cuma separuh jalan menyahut panggilan Hidayah Allah lantaran memikirkan kata-kata orang & keluarga. Ramai juga meninggalkan penampilan tudung labuh kerana kembali ‘terpikat’ dengan keduniaan seperti terpengaruh dengan fesyen, takut tidak bertemu jodoh ataupun kerana menggunakan alasan susah mencari pekerjaan dengan pakaian tersebut.
  3. Ramai juga yang langsung tidak mengendahkan ketukan Hidayah Allah yang dibiarkan berlalu sepi. Mereka ini terlepas peluang keemasan apabila menyangka Hidayah itu boleh dibeli dan akan tiba hanya dengan menanti.
1. Mulakan dengan memakai stokin kaki & sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar.
2. Cari & sertailah kumpulan usrah yang benar. Yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. InsyaAllah…
3. Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.
4. Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh semua ini seiring).
5. Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur (mengkaji) maknanya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib.
6. Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.
7. Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.
Contoh 1: Tudung Akel bidang 50.
..
Contoh 2: Pashmina (selendang menutupi dada & tidak jarang)
8. Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudungTudung Turki/ Mesir/ Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung.Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ) ^ ^
Contoh Tudung Turki jenama Akel bidang 60.
9. Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqomah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. insyaAllah.
10. Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqomah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata. :)
Contoh tudung labuh berjahit. Kain jenis koshibo.
CUBALAH dahulu. InsyaAllah, sekali cuba… masyaAllah, perasaan kali pertama itu terasa sangat indah sekali. Terasa sangat selamat, terasa Allah berasa sangat dekat. Subhanallah! Jika kita ikhlas berhijrah & memakai tudung labuh dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, insyaAllah Dia akan membantu mempermudahi jalan kita.
Secara tidak langsung, akhlak kita juga seakan terpelihara sebagaimana terpeliharanya maruah kita dilindungi kelabuhan tudung yang dipakai. Kita akan jadi segan untuk berakhlak buruk & melakukan kemungkaran.
Sebenarnya, boleh sahaja kalau hendak terus memakai tudung labuh. Namun, seeloknya, kita mulakan secara perlahan-lahan agar diri lebih yakin & bersedia. Tidaklah nanti perubahan itu terlalu drastik & takut diri tidak dapat mengadaptasi dengan penampilan baru itu. Cepat atau lambat, yang penting, perubahan itu ikhlas & istiqomah. Jadi, banyak-banyakkan berdoa agar Allah mempermudahi jalan kita untuk meraih redhaNya.
Kuatkan semangat, kuatkan semangat, kuatkan semangat serta mohonlah kekuatan daripada Allah. Sesungguhnya tidak salah berubah jika perubahan itu ke arah kebaikan & mendekatkan jarak kita dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah akan menganjarkan kebaikan kepada kita di atas pengorbanan kita.

Firman Allah swt; “Dan barangsiapa yang berjihad (melakukan kebaikan),maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.” [surah 29; al-ankabut; ayat 6]
“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan & seindah hiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR Bukhari & Muslim]
Teruskan mencari, belajar & berusaha untuk memperbaiki diri. :) Sesungguhnya, anda bukanlah keseorangan kerana Allah sentiasa ada di sisi kita.
Semoga bermanfaat, insyaAllah.

2 comments:

Anonymous said...

dulu saya pakai tudung labuh akel saiz 50 bidang tapi susah nak jumpa..huhuhu...ada pun 2 helai ja..warna biru dengan ungu dan dua2 bercorak...kalau nak pakai tudung warna lain,saya kena minta mak tolong jahitkan tudung bulat,saiz lebih kurang 50 bidang jugak ( alhamdulillah,mak saya pandai jahit baju dan tudung) dan sekarang saya try pakai tudung labuh 60 bidang lepas saya beli dekat Alor Setar.Rasa selesa sangat2 bila pakai tudung labuh macam tu.Saya bukan alim tapi saya niat nak tutup aurat saya.Moga2 Allah jaga saya.Kalau kita pakai tudung labuh,orang takkan pertikaikan cara pakaian kta sebab kita tetap macam tu...hehehe

gummybear said...

alhamdulillah..setiap kebaikan pasti ada jalannya..